Friday, July 9, 2010

Siasatan punca kematian pemain bola tampar Terengganu dialu-alukan

2010/07/08

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengalu-alukan langkah Melaka untuk menyiasat punca kematian pemain bola tampar Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, sekembalinya atlet berkenaan daripada menyertai Sukma di Melaka dari 10-19 Jun lalu.
Mohd Fadli Muhammad, 19, meninggal di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini Isnin lalu akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata, Terengganu juga mahu tahu punca sebenar kematian Mohd Fadli.


"Kita juga ingin mengetahui punca sebenar kematian Mohd Fadli jika ia ada kaitan dengan tempat penginapannya semasa Sukma berlangsung," katanya.


Berikutan kejadian itu, Rozi berkata, kerajaan negeri mungkin melindungi atlet mereka dengan insurans di masa depan.


Beliau menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada ibu Mohd Fadli, Zabedah Salleh, 46, di Kampung Jeram dekat sini.


"Selain dari kerajaan negeri, keluarga Allahyarham juga menerima sumbangan kewangan daripada Menteri Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu," katanya.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab Katim Sulaiman berkata, pihaknya akan meminta Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim) iaitu lokasi atlet bola tampar ditempatkan, serta Jabatan Kesihatan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.


"Sekretariat Sukma dan Majlis Sukan Negeri Melaka akan menjalankan siasatan bagi melihat kemungkinan termasuk seperti yang didakwa rakan mangsa," katanya.


Rakan mangsa mendakwa penginapan yang disediakan untuk mereka tidak memuaskan yang mungkin menyumbang kepada kematian mangsa.


Ab Katim mengakui bahawa kawasan Kuim di Kuala Sungai Baru itu dahulunya memang mengalami pencemaran udara kerana terdapat kandang babi tetapi ia lama diselesaikan dan tiada lagi kandang babi terdapat di situ.-Bernama

No comments:

Post a Comment