Friday, July 9, 2010

Cerai isteri, nikah adik

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
2010/07/09
KUALA TERENGGANU: Demi cintakan adik ipar, seorang lelaki tergamak menceraikan isterinya bagi membolehkan dia mengahwini wanita berkenaan walaupun hasratnya itu tidak direstui keluarga bekas mentuanya.
Kemaruk memperisterikan adik iparnya, lelaki itu tak sabar menunggu tempoh edah bekas isterinya tamat, melangsungkan pernikahan dengan adik bekas isterinya itu di Thailand.


Bagaimanapun, rahsia perkahwinan mereka terbongkar apabila ditahan dalam serbuan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang dilakukan berdasarkan maklumat awam selepas sebulan tinggal bersama.


Pasangan terbabit kemudian dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan masing-masing dikenakan denda.


“Kes berkenaan berlaku kira-kira lima tahun lalu dan ia sepatutnya menjadi iktibar kepada pasangan yang ingin berkahwin terutama mereka yang ingin berpoligami supaya mendalami ilmu agama bagi mengelak terus berada dalam maksiat akibat daripada kejahilan ilmu agama,” kata Pesuruhjayanya JHEAT, Datuk Shaikh Harun Ismail Shaikh Harun berkata, pasangan berkenaan bernasib baik ditahan pihak jabatan agama kerana tindakan itu mengelak mereka daripada terus bergelumang maksiat.


Beliau juga mengingatkan pasangan yang ingin berpoligami mengikut prosedur ditetapkan bagi mengelak masalah kemudian hari.


“Setiap pernikahan di Thailand atau luar negara hendaklah mendapat pengesahan mahkamah sebaik pasangan terbabit pulang ke Malaysia dan denda tidak melebihi RM1,000 akan dikenakan terhadap pasangan terbabit.


“Ini kerana pernikahan di Thailand boleh dilakukan dengan mudah selain menggunakan wali hakim yang ada antaranya sah dan tidak kerana ada jurunikah di negara itu yang aktif menjalankan kegiatan itu secara haram di negara berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, malu menghadiri kursus perkahwinan, selain tidak mendapat restu keluarga dan isteri pertama antara punca lelaki berusia yang ingin berpoligami memilih jalan singkat dengan menjadikan Thailand sebagai lokasi ‘selamat’ untuk melangsungkan pernikahan. Katanya, ada antaranya berat hati untuk berkahwin di sini kerana enggan menjalani pemeriksaan HIV seperti yang ditetapkan terutama di kalangan lelaki berusia antara 45 hingga 50 tahun sekali gus menyebabkan Thailand menjadi pilihan mereka sebagai lokasi untuk berpoligami.


Shaikh Harun, berkata lelaki yang ingin berpoligami sebenarnya tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama untuk berkahwin lain kerana ia akan ditentukan Hakim Syarie apabila permohonan berpoligami dibuat di Mahkamah Syariah

No comments:

Post a Comment