Saturday, July 10, 2010

'Jual' Terengganu dengan pakej lengkap

KUALA TERENGGANU 9 Julai - Pihak pengurusan pelancongan di negeri ini disaran lebih kreatif dalam 'menjual' destinasi pelancongan Terengganu dengan menyediakan pelbagai pakej lengkap kepada pengunjung.

Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Terengganu, Suhaimi Abu Hassan berkata, pakej merangkumi kemudahan penginapan, pengangkutan, pemandu pelancong serta suasana destinasi pelancongan yang unik merupakan antara tarikan utama ke negeri ini.

Katanya, melalui kaedah memanfaatkan segala tarikan yang ada, pihak pengurusan pelancongan mampu memperoleh pendapatan lebih lumayan.

"Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia merupakan sebuah negara yang mudah dan murah dilawati memandangkan kita tidak mengenakan bayaran yang mahal untuk melawat sesebuah lokasi pelancongan.

"Namun ia bukan alasan untuk kita tidak memperoleh pendapatan lebih besar. Justeru itu, kreativiti untuk menjual sesebuah lokasi pelancongan perlu ada pada setiap pengurusan dalam usaha membantu kerajaan negeri meningkatkan perolehan dalam industri ini," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan pertukarannya ke Indonesia sebagai Pengarah Pejabat Pelancongan Malaysia di Medan berkuat kuasa esok.

Suhaimi yang telah berkhidmat di Terengganu sejak dua tahun lalu itu memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada pengganti yang akan mengambil alih tempatnya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai misinya mempromosikan pelancongan negara di Indonesia, beliau berkata, penekanan terhadap produk pelancongan di seluruh negeri Pantai Timur bakal diberi keutamaan.

Ini kerana jelasnya, melihat kepada masa kini, dianggarkan dua juta pelancong dari negara Indonesia mengunjungi Malaysia setiap tahun.

Bagaimanapun, mereka gemar melawat negeri di sebelah Pantai Barat seperti Johor dan Pulau Pinang yang popular dengan bandar-bandar besar.

"Justeru itu, kita akan meningkatkan promosi negeri-negeri di sebelah Pantai Timur yang kaya dengan destinasi pelancongan berunsurkan kesenian, tradisi, sejarah serta alam semula jadi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment