Saturday, July 31, 2010

Guru Agama Koma Dirempuh Kereta

KUALA TERENGGANU 30 Julai - Kebiasaannya, pada setiap pagi, seorang guru al-Quran, Mohd. Redha Mohd. Rosli, 21, menuju ke sekolah tempatnya bertugas di Dungun dengan menaiki kereta milik bapanya.

Namun semalam, rutinnya itu tiba-tiba berubah apabila dia meminjam motosikal rakannya untuk ke Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Rupa-rupanya, perubahan itu adalah petanda buruk kerana dia akhirnya terbabit dalam nahas jalan raya apabila motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta dari belakang menyebabkan mangsa tercampak ke pagar sekolah.

Kemalangan yang berlaku pukul 8.30 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan sehingga kini masih koma.

Ketika ini, mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dipindahkan dari Hospital Dungun semalam.

Menurut abangnya, Azuhuri Mustaqim, 33, Mohd. Redha masih belum sedarkan diri dan hasil pemeriksaan, doktor mendapati adiknya itu mengalami pendarahan dalaman di otak.

"Buat masa ini, dia masih koma dan diberi rawatan rapi di HSNZ, hasil pemeriksaan mendapati otaknya pecah. Kami sedih dengan kejadian yang menimpanya tapi tetap reda dan berdoa agar dia cepat pulih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Azuhuri yang merupakan seorang eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, Mohd. Redha adalah anak kelima daripada sembilan beradik dan bertugas sebagai guru al-Quran di SM Imtiaz Dungun.

"Biasanya, pada setiap pagi dia ke SM Imtiaz Dungun menaiki kereta bapa, tapi semalam tingkah lakunya agak pelik dan kelam kabut sebelum dia ke sekolah dengan menunggang motosikal kepunyaan seorang rakannya.

"Tak sangka pula kejadian buruk menimpanya pagi semalam dan dia sehingga sekarang masih koma," ujarnya sambil menambah, adiknya itu turut menjadi imam di kampung mereka di Dungun.

Dalam pada itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun ketika dihubungi petang ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment