Saturday, July 10, 2010

Islam dan Moral bukan subjek teras

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pendidikan Islam dan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana langkah sedemikian tidak akan menjamin penghayatan dan amalan murid terhadap mata pelajaran tersebut.

“Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang bertanya adakah kementerian boleh menambah mata pelajaran wajib iaitu Pendidikan Islam dan Moral dalam peperiksaan UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd. Puad berkata, meskipun tidak dijadikan sebagai mata pelajaran teras UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mempelajari Pendidikan Islam sementara Pendidikan Moral bagi bukan Islam.

“Bagaimanapun, mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam katanya, ia ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid.

Beliau berkata, kerajaan ingin menggalakkan murid menghadapi tekanan peperiksaan bertujuan melahirkan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelektual.

“Ia seperti dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan bukan berasaskan kepada peperiksaan semata-mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment