Saturday, July 31, 2010

Kegagalan Hati

Penyakit kuning ypada bayi yang baru lahir biasanya dialami dalam jangka masa pendek dan tidak berbahaya. Tetapi di kalangan orang dewasa menunjukkan mereka mengalami masalah kesihatan yang serius dan perlu dirawat segera oleh doktor.

Penyakit kuning adalah tanda bagi banyak penyakit. Ia boleh dikesan apabila kulit dan sklera (bahagian putih mata) berubah menjadi kuning, Ini berlaku kerana lebihan bilirubin. Keadaan kulit kuning disertai kencing bewarna gelap dan najis berwarna pucat (berlaku apabila salur hempedu tersekat). Selain itu, pesakit mengalami kegatalan pada kulit, muntah dan hilang nafsu makan.

Gejala

Secara umum, penyakit kuning boleh dikategorikan kepada dua jenis: obstructive jaundice (sakit kuning disebabkan sekatan pada salur hempedu) dan hepatocellular jaundice (sakit kuning disebabkan masalah hati).

Obstructive Jaundice

Obstructive jaundice, atau cholesistik jaundice disebabkan sumbatan pada salur pundi hempedu akibat batu hempedu, kanser pankreas atau kanser salur hempedu. (kolangiokarsinoma).

Pesakit akan mengalami kencing berwarna gelap dan najis yang pucat disebabkan oleh kurangnya pengeluaran cecair hempedu dan bilirubin ke dalam usus. Sakit dan demam adalah gejala sekiranya salur hempedu tersumbat oleh batu hempedu. Disebabkan gejala yang dihidapi adalah sakit pada bahagian atas abdomen, pesakit selalunya disalah tafsirkan sebagai sakit gastrik.Bagaimanapun kesakitan boleh merebak ke bahagian belakang badan.

Hepatocellular jaundice

Ia disebabkan oleh kecederaan atau radang sel hati. Ubatan moden atau herba tradisional tertentu boleh mengganggu fungsi hati. Keadaan ini boleh menghalang bilirubin yang dihapuskan dari darah atau dikeluarkan dari hempedu, yang boleh menyebabkan sakit kuning. Hepatitis alkohol juga adalah penyebab utama hepatoselluler jaundice.

Virus Hepatitis

Hepatitis adalah keadaan di mana hati menjadi terangsang dan keupayaan hati untuk memproses dan merembeskan bilirubin terhalang. Penyakit virus hepatitis termasuk virus hepatitis A, B dan C. Virus hepatitis A biasanya dijangkiti melalui dari makanan bercengkerang, manakala virus hepatitis B dan C dijangkiti melalui darah atau cairan badan.

Penyakit hati kronik akan menyebabkan hati tidak boleh berfungsi seperti hati sihat. Jika terdapat lebih parut pada tisu hati menggantikan tisu normal, fungsi hati akan mengurang (misalnya tidak boleh membersihkan darah, mencernakan makanan dan menyimpan tenaga). Akhirnya sakit kuning akan berlaku. Selalunya apabila pesakit sedar mengalami sakit kuning, keadaan mungkin telah menjadi tahap serius dan pesakit mungkin mengalami kegagalan hati dan komplikasi dari serosis hati (hati menjadi keras).

Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-5621 1408.

Sumber : Akhbar Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment