Saturday, July 10, 2010

Beyond Borders dilancar

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my


KUALA TERENGGANU 9 Julai - Seawal pukul 8 pagi, ramai ibu bapa sudah berkumpul dalam kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Mengabang Telipot di sini bagi menghadiri program yang dirangka bukan sahaja untuk anak-anak tetapi juga untuk mereka.

Ia merupakan program untuk memberi penekanan terhadap penguasaan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan di samping kefahaman, keupayaan bertutur dan menulis dengan baik.

Norasmani Endut, 35, dari Kampung Alor Jambu merupakan salah seorang daripada mereka yang ditemui semasa menunggu majlis pelancaran Beyond Borders 2010 yang digerakkan oleh Malaysia Airports Berhad sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya.

Norasmani sedar kelemahan dalam bahasa Inggeris boleh menjejaskan pencapaian anaknya dalam peperiksaan yang jika tidak diatasi pada peringkat rendah akan berterusan di peringkat menengah yang akhirnya menyempitkan peluang dalam persaingan ke menara gading dan kerjaya kelak.

Ibu kepada empat orang anak itu mengakui anaknya agak lemah dalam mata pelajaran tersebut dan tidak banyak yang boleh dilakukan olehnya dan suami untuk membantu kerana mereka sendiri tidak begitu memahami bahasa tersebut.

"Jadi bila pihak sekolah memaklumkan ada program sebegini, saya amat teruja untuk menyertai sama sebagai perangsang kerana saya sedar saya tidak pendidikan tinggi dan harap program ini dapat membantu anak saya," jelasnya.

Pelancaran Program Beyond Borders disempurnakan oleh Pengurus Besar Malaysia Airports Technologies, Kamaruddin Mahmood di sekolah tersebut di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Mohamad Nasir Jusuh dan Guru Besar SK Mengabang Telipot, Nordin Hashim.

Beyond Borders bertemakan 'berikan mereka sayap dan biarkan mereka terbang' bertujuan menyokong usaha membantu murid-murid dalam kategori kurang mampu atau tidak bernasib baik untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah.

''Sejarah membuktikan tiada batasan untuk mencapai kecemerlangan kerana ia merentasi sempadan geografi, bangsa dan sosioekonomi," ujar Kamaruddin semasa berucap.

SK Mengabang Telipot merupakan antara 10 buah sekolah di Semenanjung yang dijadikan sekolah angkat Malaysia Airports berasaskan kedudukannya dalam lingkungan kawasan berhampiran lapangan terbang selain dinilai melalui pencapaian pendidikan.

Lebih 1,000 murid darjah empat daripada 10 buah sekolah itu dilibatkan dalam program inovatif dan kreatif yang akan dipantau selama tiga tahun manakala keberkesanannya diukur dari segi pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bertepatan dengan objektif Malaysian Airport yang mahukan peningkatan dalam pencapaian pelajar-pelajar luar bandar, program tersebut bukan sahaja melibatkan para pelajar dan guru malah turut melibatkan ibu bapa dan komuniti sekitarnya yang dirangkum dengan pelbagai kegiatan.

Antara program yang dianjurkan termasuk bengkel untuk guru dengan pendedahan modul pengurusan projek, pengajaran kreatif dan kemahiran komunikasi serta bengkel penulisan kreatif bagi murid tahun empat terhadap karangan bahasa Inggeris di samping menguasai pemikiran kreatif.

''Guru-guru yang terlibat akan mengaplikasikan kembali ilmu yang dipelajari melalui pelaksanaan 'post-workshop project' yang turut mengetengahkan mata pelajaran Sains dan Matematik," ujarnya.

Katanya, selain Bahasa Inggeris, mata pelajaran Sains dan Matematik turut diberi fokus agar ia bersesuaian dengan kehendak masa kini yang mahukan tiga subjek itu dikuasai dengan mahir.

Hasil usaha guru dan murid akan dipertandingkan antara sekolah-sekolah yang terlibat dalam program tersebut dan ibu bapa juga akan dilibatkan dalam merangsang kejayaan.

Ia akan diadili mengikut zon dan kemuncaknya adalah Anugerah Beyond Borders pada tahun 2012 apabila sekolah yang mewakili zon masing-masing dinilai untuk merebut gelaran Anugerah Best Beyond Borders School untuk tiga tahun itu.

Menurut Kamaruddin, walaupun pada penghujung program terdapat elemen pertandingan, ia tidak menjejaskan fokus sebenar pihaknya untuk membantu memperbaiki dan meningkatkan pencapaian akademik di peringkat sekolah.

"Pada tahun ini kita telah memperuntukkan RM600,000 untuk menjayakan program ini dan berharap program yang telah dianjurkan sejak empat tahun lalu mampu mencapai kecemerlangan yang diimpikan oleh semua pihak," katanya selepas upacara menanam pokok sebagai simbolik pelancaran.

Selain ibu bapa, turut berkongsi kegembiraan kerana pemilihan sekolah itu sebagai sekolah angkat ialah Guru Besarnya, Nordin Hashim yang mengakui teruja apabila sekolahnya dipilih menyertai program berkenaan.

Beliau bersama guru-guru berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan pencapaian sekolah tersebut seiring dengan bantuan dan kemudahan yang disalurkan.

"Kita berbangga kerana dipilih menyertai program ini dan kita akan komited dalam pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh pihak penganjur selama tiga tahun ini.

"Program ini akan memberi semangat baru kepada guru-guru dan murid-murid untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," jelasnya.

No comments:

Post a Comment