Wednesday, July 21, 2010

'Kalau ikutkan hati...'

Oleh Mohd Nasif Badruddin

2010/07/21
KUALA TERENGGANU: “Kalau ikut perasaan dan nak balas dendam memang boleh, tapi ia tidak berkesudahan. Jadi biarlah polis siasat kerana negara kita ada undang-undang,” kata Wan Zulfazri Wan Temirang, 28, adik kepada Wan Sukri, 34, yang meninggal dunia selepas dibelasah sekumpulan penduduk kampung kerana didakwa mengutip ‘tol’ di jambatan Kampung Padang Hangus, Tepoh, dekat sini, kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu.
Wan Sukri dari Kampung Banggol Baru, Tok Jiring, di sini, meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang kelmarin di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami kecederaan teruk di kepala akibat dipukul dengan benda tumpul.


Wan Zulfazri yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor, berkata dia terkejut apabila diberitahu seorang ahli keluarganya, abangnya ditimpa musibah, sedangkan anak keempat daripada sembilan beradik itu seorang yang baik dan mendengar kata ibu bapa.


Katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya yang bekerja sebagai buruh kampung pada April lalu dan selepas itu mereka hanya berhubung melalui telefon.


“Minggu lalu saya pelik apabila arwah tiba-tiba menambah nilai prabayar telefon saya sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan begitu, sebaliknya saya yang menambah nilai prabayar telefonnya.


“Malah, dia juga sempat memberi hadiah kepada seorang saudara terdekat baru melahirkan anak beberapa minggu lalu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.


Menurutnya, apa dikesalkan ialah sikap sekumpulan penduduk kampung sanggup bertindak melulu membelakangkan undang-undang sehingga menimbulkan masalah lain kerana difahamkan Wan Sukri sekadar keluar berjalan di kawasan berkenaan dan menafikan dakwaan abangnya itu terbabit mengutip ‘tol’ di situ.


Katanya, ketika penduduk kampung menemui abangnya, keadaannya begitu menyayat hati dengan berlumuran darah dan cedera parah di kepala.


Malah kata Wan Zulfazri, hanya sebentuk cincin ditemui pada badan abangnya, manakala barangan lain seperti jam tangan, sejumlah wang tunai dan kad pengenalan dalam dompet serta tiga telefon bimbit termasuk milik ibu yang ingin dihantar ke kedai untuk dibaiki hilang sehingga menimbulkan persoalan siapa sebenarnya bersalah dan mencuri.


“Bimbang kejadian menimpa abang, ibu saya, Maimunah Ngah, 60, membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu petang Sabtu lalu, dan berharap polis dapat menyiasat segera kes ini dengan terperinci bagi menentukan apa sebenarnya yang terjadi dan siapa yang bersalah,” katanya sambil memberitahu jenazah abangnya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tunggal, di sini, selepas solat Asar petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan daripada Maimunah dan masih menyiasat kejadian. MyMetro

No comments:

Post a Comment