Thursday, July 15, 2010

Penghulu pantau senarai e-Kasih

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Julai - Kerajaan negeri meminta para penghulu bekerjasama dengan para pemimpin masyarakat setempat termasuk wakil rakyat bagi membantu memastikan golongan miskin yang perlu dibantu tidak tercicir daripada senarai e-Kasih.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab agar tidak merencatkan usaha kerajaan membela nasib golongan itu dan memberi imej tidak baik kepada kerajaan apabila kalangan yang tidak selayaknya pula mendapat kemudahan.

"Ia (senarai) perlu dipantau, jangan dibiarkan dibuat (penilaian) atas wakaf," katanya sambil mengharapkan senarai itu dapat dikemas kini dengan laporan tepat dan membolehkan bantuan berjalan lancar.

Sehubungan itu juga beliau akan turun padang untuk meneliti sendiri kalangan peserta yang disenarai terutama dalam kategori miskin tegar yang keseluruhannya melibatkan 450 keluarga di seluruh negeri ini.

"Ia bukanlah suatu yang susah," katanya ketika berucap menutup Wacana Pembangunan Daerah 2010 dan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung cawangan Terengganu di sini semalam.

Katanya, selaku pemimpin setempat yang berperanan menjayakan dasar kerajaan, laporan yang tepat oleh para penghulu diharapkan dalam mengambil pasti permasalahan dan penyediaan kemudahan bagi rakyat.

Menurut beliau, ia membolehkan persoalan yang lebih penting termasuk mereka yang hidup melarat dan menghidap penyakit kronik dibantu manakala keperluan asas setempat diberi keutamaan dan bukannya melibatkan projek yang memenuhi kepentingan individu.

Katanya, mereka tidak sepatutnya menjadi orang yang terakhir mengetahui segala masalah berbangkit.

Malah katanya, mereka perlu membimbing Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membuat cadangan-cadangan permohonan yang sepatutnya untuk memenuhi keperluan sebenar masyarakat

No comments:

Post a Comment