Wednesday, July 28, 2010

Pulang selepas 7 tahun menghilang

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my


HULU TERENGGANU 27 Julai - Episod duka 'cinta Lombok' melibatkan wanita tempatan dengan pemuda Indonesia belum berakhir apabila seorang lagi wanita tempatan berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas campur tangan pihak berkuasa.

Terbaru, seorang wanita dari Kampung Kuala Pueh di sini, Ku Faridah Ku Man, 33, berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarganya setelah lebih tujuh tahun mengikut suaminya ke Mataram, Lombok, Indonesia.

Ku Faridah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira pukul 9 malam tadi sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta, Saima Sipahutar.

Anak kedua daripada lapan beradik itu melarikan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya yang merupakan seorang pemuda Lombok pada 2003 walaupun tidak mendapat kebenaran keluarganya.

Ku Faridah yang kelihatan sebak setiba di halaman rumahnya, tidak dapat menahan air mata apabila berkali-kali mencium pipi ibu dan dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini.

Dia yang telah mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan pemuda Lombok itu berkali-kali menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana membantunya pulang ke tanah air.

"Sebelum ini, ibu pernah mengirimkan wang untuk saya namun ia tidak mencukupi bagi saya pulang ke sini.

"Alhamdulillah dengan bantuan kerajaan negeri, Kedutaan Malaysia (di Jakarta) dan pemerintah Indonesia akhirnya saya kembali ke sini," ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Zainab Deraman, 58, bersyukur apabila anaknya yang pernah dianggap telah hilang itu, akhirnya kembali semula ke pangkuannya.

Menceritakan permulaan usaha membawa pulang Ku Faridah, Zainab memberitahu, sebelum ini dia tiada tempat untuk mengadu sehinggalah menemui sendiri ADUN Telemong, Rozi Mamat tiga bulan lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu dia meminta bantuan menyelamatkan anaknya yang telah melarikan di Lombok beberapa tahun selepas anaknya itu berkahwin.

"Hanya tiga bulan lalu, dia (Ku Faridah) telefon saya untuk beritahu hendak pulang. Sedangkan sebelum itu dia menghilangkan diri sejak tujuh tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Rozi memberitahu, pihaknya akan berusaha membantu Ku Faridah bagi membolehkan ketiga-tiga anaknya yang kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta dibawa pulang ke negara ini.

"Kita akan membawa pulang ketiga-tiga anaknya itu melalui permohonan secara sah dan mengikut peraturan negara itu," katanya.

Ujar wanita itu, dia tidak menyangka dapat pulang semula ke kampung halamannya kerana mengakui tidak mampu berbuat demikian jika tidak dibantu oleh pihak yang berkenaan.

Katanya, walaupun tindakan anaknya itu amat menyedihkan, dia telah memaafkan segala perbuatan yang dilakukan Ku Faridah kerana apa yang penting dia sudah insaf dan tidak akan mengulanginya lagi.

No comments:

Post a Comment