Tuesday, July 13, 2010

Sekadar Gaya..Adakah Memadai??

Siapa yang tidak suka bergaya, apatah jika berpergian dan bergaul dengan orang sekeliling. Orang yang kelihatan bergaya tentu lebih disenangi berbanding orang yang selekeh. Jika dalam sesuatu majlis, orang yang berpenampilan kemas tentu sahaja lebih mudah didampingi. Lihatlah pula penampilan orang yang terkenal seperti tokoh politik atau selebriti. Di mata umum, mereka selalu tampil dengan gaya yang menterjemahkan wibawa tersendiri. Wibawa itu boleh sahaja dilihat salah satu elemen pengaruh dan pengaruh ada kena-mengena dengan kuasa.

‘Gaya’ lebih merujuk kepada penampilan fizikal seperti fesyen, pakaian atau perhiasan. Bagaimana pula Islam melihat penampilan fizikal? Ya, tiada salahnya bergaya asalkan kena
dengan syarak. Kerana Islam sendiri adalah agama yang indah yang menuntut umatnya tampil dengan keindahan dan memanfaatkan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah cantik dan suka kecantikan.” (Riwayat Muslim) Islam tidak menolak fesyen kerana itu adalah sebahagian daripada keindahan dan kecantikan. Namun syaratnya, haruslah tidak lari daripada ciri-ciri pakaian Muslim dan Muslimah.

Antara ciri-ciri pakaian Muslimah termasuklah:

1. Menutup tubuh seperti yang diperintahkan syarak. Syarat ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah menutup belahan leher baju dengan tudung…” (Surah An-
Nur: 31)

2. Pakaian longgar dan tidak jarang kerana pakaian seumpama ini boleh menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ada dua golongan penghuni neraka yang saya tidak pernah lihat, iaitu satu kaum yang membawa cemeti seperti seekor lembu sedang memukul wanita dan manusia yang berpakaian tetapi telanjang (mendedahkan aurat), mereka tidak patuh perintah Allah dan mengajak orang lain mengikuti mereka. Kepala mereka condong seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga yang baunya sejauh perjalanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Bukan pakaian untuk menunjuk-nunjukkan kemegahan. Umpamanya kita memakai pakaian untuk menunjukkan kita orang kaya dan orang yang berkuasa. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang memakai pakaian megah di dunia, Allah akan memakaikannya pakaian hina pada hari kiamat, kemudian dia akan dicampakkan ke neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Tidak keterlaluan berwangi-wangian. Bukanlah bermakna kita tidak boleh langsung memakai haruman sehingga tubuh berbau peluh dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang sekeliling. Namun yang utama, berpada-pada agar wangian di tubuh tidak menimbulkan perasaan berahi pada lelaki bukan mahram. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan berjalan keluar di khalayak ramai, kemudian bau wangi-wangian itu dapat dihidu oleh mereka, bermakna wanita itu penzina.” (Hadis Riwayat Malik)


Sumber : majalah

No comments:

Post a Comment