Tuesday, July 13, 2010

Biar Kena Gaya..

Etika berpakaian bukan hanya tertumpu pada apa yang digariskan dalam panduan ditetapkan syarikat. Tetapi anda juga harus mengikuti panduan di dalam buku fesyen juga, bimbang anda menjadi mangsa fesyen. Beberapa tip di bawah mungkin boleh membantu anda bergaya mengikut tugas anda seharian.

JIKA ANDA SEORANG GURU…

Gaya profesional
Pilih gaya lebih profesional. Ada di antara hari yang memerlukan anda menghadiri mesyuarat bersama pegawai atasan atau pihak pengurusan. Pada hari bertemu ibu bapa juga anda perlu tampil lebih sopan dan profesional. Pendek kata, setiap hari memerlukan anda bergaya profesional walaupun kod etika tempat anda bekerja membolehkan anda bergaya kasual.

Sopan dan tidak terdedah
Kesopanan menjadi kunci utama tema gaya anda. Seorang guru tidak sepatutnya menunjukkan ‘lurah’ atau mengenakan pakaian terlalu ketat. Elakkan mendedahkan bahagian peha dan pinggang. Pilih pakaian yang menunjukkan kedewasaan, sesuai dengan tugas anda sebagai guru. Bagi mereka yang suka mengikut trend, dres labuh sesuai untuk anda tampil menarik dan sopan. Elakkan memilih pakaian yang mendedahkan kulit. Sewaktu anda mengangkat tangan atau menundukkan badan, pakaian yang pendek dan tidak sesuai akan menunjukkan kulit badan anda di hadapan pelajar. Sebelum ke tempat kerja, bergaya dahulu di hadapan cermin supaya anda tahu sama ada pakaian anda sesuai atau tidak.

Elakkan baju sembarangan
Pilihlah pakaian yang elok. Teknik lipatan atau kelim yang koyak, berbulu atau berlubang sungguh tidak sesuai untuk seorang guru. Kata orang, pilih busana jangan sembarangan!
● Sesetengah wanita suka memakai kemeja-T labuh berlengan pendek dan dipadankan jaket. Gaya ini kurang sesuai bagi seorang guru kerana anda kelihatan seperti hendak bersiar-siar. Tambahan pula jika kemeja-T itu bercorak kartun atau abstrak.
● Jangan samakan tugas anda dengan peragawati. Bergaya ikut kesesuaian tugas anda.

Fabrik dan warna
Pastikan fabrik pakaian anda mudah dicuci. Sebagai guru keadaan anda di sekolah tidak menentu. Mungkin anda berhadapan dengan tugasan membersih bilik darjah atau sekolah, pelajar sakit, kerja-kerja seni menggunakan warna air atau tanah liat atau susu tumpah.
● Pilih pakaian mudah cuci.
● Fabrik dari rona gelap mengelakkan kesan comot jelas kelihatan
● Sarungkan busana berharga mahal untuk majlis yang bersesuaian.

Keselesaan itu penting
Pentingkan keselesaan! Anda mungkin akan berhadapan dengan pelajar nakal yang memerlukan anda berlari sekeliling kelas untuk mendapatkannya. Atau, anda perlu mengemas bilik darjah yang berselerak, dan anda juga mungkin perlu menari bersama pelajar. Keselesaan pakaian yang anda pakai sangat penting untuk memudahkan setiap pergerakkan. Bimbang nanti, pelajar pula akan mengejar anda!
● Seluar panjang dan kemeja sentiasa sesuai untuk seorang guru.
● Elakkan memakai kasut bertumit terlalu tinggi.

Sepatu sesuai
Bukan hanya keselesaan berpakaian sahaja penting malah keselesaan kasut juga perlu diutamakan. Sepatu tutup penuh sesuai untuk tugas sebagai guru. Memandangkan pada kebanyakan masa anda perlu berdiri, jadi pastikan kasut anda selesa dan mempunyai sokongan penuh pada bahagian tapak.
● Tidak salah membeli kasut pada harga mahal asalkan dapat membuatkan kaki anda selesa.
● Sepatu mahal lebih tahan lama dan selesa.
● Kasut bertumit tinggi hanya akan menyukarkan pergerakkan anda.

Hadkan solekan
Biasanya, seorang guru tidak memerlukan solekan tebal untuk mengajar. Anda bukan model atau artis. Cukup sekadar solekan nipis dan manis.

Pilihan aksesori
Sebagaimana anda hadkan solekan, begitu juga aksesori diri. Anda boleh bergaya dengan tali pinggang besar tetapi pastikan tali pinggang yang mempunyai rekaan ringkas.
● Padankan tali pinggang besar dengan baju polos dan seluar polos.
● Pilih warna tali pinggang yang tidak terlalu menonjol seperti hitam dan biru gelap.


Sumber : majalah


No comments:

Post a Comment