Wednesday, July 14, 2010

Adab-adab Ketika Berbuka Puasa

Ihya’ Ramadan
Oleh ANZARUDDIN AHMAD


ORANG berpuasa mesti menjaga adab-adab sepanjang menjalankan ibadah tersebut. Ini termasuklah adab-adab berbuka puasa. Adab-adab berbuka puasa yang perlu diberi perhatian adalah:

- Menyegerakan berbuka (Ta’jil Al-Iftar) sejurus masuk waktu maghrib.

Ini berdalilkan hadis daripada Sahl bin Sa’d, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa. (riwayat al-Bukhary dan Muslim).

- Memulakan makan dengan bismillah, makan dengan tangan kanan dan mengakhirinya dengan Alhamdulillah.

Ini berdalilkan hadis ‘Umar bin Abi Salamah r.a. (anak tiri Rasulullah) yang pernah tinggal di bawah jagaan Nabi SAW. Kata ‘Umar: Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: Wahai budak kecil! Apabila kamu hendak makan maka sebutlah nama Allah, gunakanlah tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terhidang dekat denganmu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

- Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.

Rutab adalah buah kurma separuh masak, yang lembut dan manis rasanya. Tamar pula adalah buah kurma yang sudah kering.
Rutab ialah buah kurma masak yang masih basah. Apabila ia kering dan mengecut ia dipanggil tamar. Anas berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan beberapa biji rutab (sekurang-kurangnya tiga biji kerana jamak muannath salim dalam bahasa Arab bermula dengan bilangan tiga), jika tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar (juga sekurang-kurangnya tiga biji) dan jika tiada tamar maka baginda menghirup beberapa teguk air (juga sekurang- kurangnya tiga teguk), sesungguhnya ia adalah suci”. (riwayat al-Tirmidzi)

Inilah sunnah Nabi s.a.w. yang diabaikan oleh kebanyakan orang yang berpuasa, khususnya dalam beberapa undangan umum di mana disediakan makanan dan minuman yang baik dan lazat. (Mahmud bin Ahmad Rasyid, Tawjih al-Sari Li al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah, Dar Ibnu Rajab, al-Mansurah, 2004 : 136).

Dakwaan bahawa jika tiada tamar, maka sunat berbuka dengan buah-buahan lain atau kuih muih yang manis juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.

- Segera solat maghrib selepas berbuka jika makanan belum dihidangkan.

Hadis Anas yang kita bincangkan di atas menunjukkan Nabi SAW berbuka dengan rutab, tamar atau air sebelum solat maghrib.

Selepas berbuka, sunat dia menyegerakan solat maghrib. Selesai solat dia boleh kembali menyambung makan malam untuk memenuhi hajatnya (ibid: 36)

Bagaimanapun, jika makanan telah dihidang, makruh kita meninggalkan makanan kerana mahu segera menunaikan solat. Makruh di sini adalah hal-hal yang dapat mengurangi kesempurnaan solat namun tidaklah tidaklah sampai membatalkannya. (Abdulah bin ‘Abd al-Rahman ‘Ali Bassam, Tanbih al-Afham wa Taisir al-‘Alam, Dar Ibnu Haitsam, Cairo, 1992 : 157-158).

- Tidak makan dengan kadar berlebihan

Ini bertepatan dengan firman Allah: Dan makanlah kamu dan minumlah kamu, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (al-‘Araaf : 31).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda supaya kita membahagikan perut kepada tiga iaitu satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (riwayat al-Tirmidzi)

- Berbuka secara berjemaah

Disunatkan makan secara berjemaah termasuk ketika berbuka. Para sahabat dapat merakamkan perihal berbuka Nabi SAW kerana mereka berbuka secara berjemaah bersama Nabi SAW.

- Berdoa ketika berbuka.

Berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. adalah sunat berdoa: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (riwayat Ibn Majah)

- Berdoa kepada mereka yang menyediakan hidangan berbuka.

Ini seperti doa Nabi SAW kepada para sahabat yang menjamu Baginda dengan makanan dan minuman seperti yang diriwayatkan oleh ‘Abdillah bin Busr di mana Nabi menyebut: …Ya Allah! Berkatilah mereka pada rezeki yang Engkau anugerahkan, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka. (riwayat Muslim).

- Menyediakan Iftar (hidangan berbuka) bagi mereka yang berpuasa.

Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang yang berpuasa) tanpa dikurangi sedikitpun ganjaran orang yang berpuasa itu”. (riwayat al-Tirmidzi)

- Tidak mencela makanan

Kata Abu Hurairah: Rasulullah SAW tidak pernah mencela mana-mana makanan. Apabila Baginda menyukai (mengingini) sesuatu makanan dimakannya, dan apabila Baginda tidak menyukainya ditinggalkan sahaja. (riwayat Muslim)

- Menjilat/mengulum jari sejurus selesai makan.

Abdullah Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu makan maka janganlah dia menyapu tangannya sebelum dia menjilat/mengulum jari-jarinya. (riwayat al-Bukhari)

Ini jelas menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya perbuatan menjilat jari-jari adalah sesuatu yang menjijikkan.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment