Sunday, August 1, 2010

Mohd. Azri dicari bantu kes curi motosikal

MARANG 31 Julai - Polis sedang mengesan seorang pemuda berusia 23 tahun bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, Mohd. Azri Che Ali atau lebih dikenali dengan panggilan 'Kechek Adik' berasal dari Gong Merawang, Kampung Baru Rhu Muda di sini.

Beliau berkata, Mohd. Azri dipercayai dapat membantu siasatan beberapa kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar daerah ini.

Menurut beliau, kes curi motosikal itu kini sering berlaku di sekitar Jambu Bongkok.

"Kes terbaru curi motosikal berlaku di Kampung Jambu Bongkok pada 18 Julai lalu, kira-kira pukul 6.30 petang.

"Kita percaya selain Jambu Bongkok, beberapa kes kecurian turut berlaku di kawasan Rusila dan Rhu Rendang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat mengenai pemuda itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222.~Utusan

No comments:

Post a Comment