Monday, August 16, 2010

Dua anak meraung

Dua anak meraung
Oleh Mohd Nasif Badruddin, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Rohaya Bu-za

2010/08/16
KUALA TERENGGANU: “Tersentak hati saya melihat dua cucu tidak berdosa, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, meraung kesakitan akibat terkena simbahan cuka getah oleh bapanya yang hilang kewarasan.

“Malah, saya yang cuba menyelamatkan anak, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang bergelut dengan suaminya turut terkena percikan cuka getah di mata menyebabkan mata kiri kini menjadi kelabu,” kata Minah Omar, 56, ibu Che Ku Zaimah dan nenek dua kanak-kanak yang disimbah cuka getah pada kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Menceritakan detik cemas itu, Minah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, kira-kira jam 1.30 pagi dia dikejutkan dengan teriakan anak perempuannya meminta tolong dari bilik bersebelahan sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melihat dua cucunya menggelupur menahan kesakitan sementara dua lagi cucunya bersembunyi ketakutan.

“Saya yang terkejut tidak terfikir membantu dua cucu sebaliknya merayu menantu (suspek) menghentikan pergelutan dengan isteri, sebelum mata kiri terkena percikan cuka getah yang cuba disimbah pada anak.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya apa cecair yang disimbah sehingga bahagian yang terkena cecair itu kepanasan dan berasa pedih, cuma dalam perhatian saya suspek membawa cecair di dalam plastik.

“Melihat keengganan suspek berhenti mencederakannya, saya menjerit meminta tolong anak saudara yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja anak saudaranya datang, suspek yang ketakutan melarikan diri sebelum anak dan cucu bergegas ke bilik air untuk mandi kerana kepanasan.

Katanya, mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke HSNZ memandangkan kecederaan dialami agak serius dan tengah hari semalam dia dibenarkan keluar hospital sementara ahli keluarga lain masih dirawat di situ.
Click Here

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati Che Ku Zaimah cedera di belakang badan serta paha kanan dan kiri, manakala anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda cedera teruk di muka dan mata sementara Muhammad Irfan Firdaus cedera di muka dan dada,” katanya.

Minah berkata, menurut cerita Che Ku Zaimah, lelaki terbabit ke rumahnya untuk meminta wang RM30, bagaimanapun dia (Che Ku Zaimah) tidak memberi wang berkenaan menyebabkan suspek berang dan bertindak nekad menendang pintu rumah.

“Sebaik pintu itu dibuka, suspek meluru ke arahnya sebelum berlaku pergelutan dan dia nekad menyimbah cuka getah ke wajah Che Ku Zaimah, tetapi dielak menyebabkan ia terkena bahagian belakang.

“Lebih menyedihkan, cuka getah itu terkena muka dan badan kedua-dua cucu yang tidur sementara dua cucu lagi sempat menyelamatkan diri dan lebih kejam apabila dia bukan saja menyimbah, malah menyapu cuka getah itu di belakang badan Che Ku Zaimah,” katanya.

Katanya, suspek pernah menyatakan hasratnya untuk menyimbah asid di muka anaknya kerana mangsa ingin bercerai dengannya, bagaimanapun mangsa tidak mengambil serius ugutan itu.

“Dia bukan saja menampar mangsa apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat ke atas kepala anak saya selain mencederakannya dengan api rokok.

“Sikap suspek yang panas baran serta tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada Che Ku Zaimah yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menyebabkan dia tidak tahan kerenah suspek dan ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian mereka.

“Suspek yang berang pernah berkali-kali mengugut anak saya selain dipercayai menyimpan sijil perkahwinan mereka menyebabkan kes perceraian itu tertangguh sehingga sekarang,” katanya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan, ketika ditemui di pejabatnya semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah rumah tangga, apabila suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penagih dadah dan tidak bekerja berdendam serta marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang kerana mahu bercerai.

Katanya, pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu, tetapi tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu apabila mangsa membawa empat anak mereka berusia 10, lapan, tujuh dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Suspek sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada isterinya dengan yang terbaru sebelum kejadian ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke rumah mangsa mendapati, percikan asid atau cuka getah bertaburan di lantai dan dinding bilik tidur berkenaan, manakala jiran mangsa yang enggan dikenali mengaku mendengar bunyi bising daripada rumah berkenaan sebelum mengetahui mengenai kejadian

No comments:

Post a Comment