Monday, August 23, 2010

Mati melambung

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2010/08/23

Budak terpelanting 15 meter atas pokok selepas rumah
jadi stor mercun meletup

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun pula cedera parah dipercayai tercampak ke tanah di bahagian depan rumah berkenaan yang roboh akibat letupan kuat yang dikatakan boleh didengar sehingga sejauh empat kilometer. Seorang saksi, Norshafri Azhar, 36, berkata kanak-kanak itu, Khairul Arif Ayub, ditemui tersangkut di atas pokok, kira-kira lima meter dari belakang rumah berkenaan dengan kepalanya hancur.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya tergamam melihat dua lelaki dalam keadaan berlumuran darah di bawah timbunan kayu dan batu. Seorang daripada mereka yang masih mampu bercakap dalam nada lemah menyuruh saya mencari seorang kanak-kanak lelaki, tetapi saya gagal menemuinya setelah kira-kira 10 minit mencari di bawah timbunan batu dan kayu.

"Ketika itu penduduk kampung sudah memenuhi kawasan kejadian dan saya terkedu melihat tubuh kanak-kanak lelaki tersangkut di atas pokok di belakang rumah ini dengan kepalanya hancur dan otak terburai sebelum mayatnya diturunkan penduduk kampung," katanya yang menjadi saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Norshafri yang bekerja sebagai penjaja dan tinggal kira-kira 20 meter dari tempat kejadian itu, berkata ketika letupan berlaku dia sedang berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.
Saya terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar bunyi letupan kuat. Saya lihat, dua lelaki cedera parah di kaki dan muka, malah bahagian kaki kelihatan seperti hancur dan berlumuran darah.

Seorang daripada mereka masih mampu bercakap, manakala seorang lagi seperti sudah tidak sedar. Seorang daripada mangsa adalah anak pemilik rumah tinggal ini, yang kini menetap di Bukit Payung dan hanya pulang sekali sekali ke rumah ini bersama ibunya," katanya.

Norshafri berkata, dua lelaki terbabit adalah rakan bapa kanak-kanak itu, Ayub Abd Rahman, 28, dan Khairul Arif juga rapat dengan mereka serta sering dilihat mengikut lelaki berkenaan.

Selain memusnahkan bahagian depan rumah berkenaan termasuk tangga batu dan sebuah motosikal, letupan itu turut merosakkan rumah jiran yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Antaranya, cermin tingkap bahagian dapur dan bilik belakang pecah, lantai jubin retak dan atap bahagian dapur pecah. Bagaimanapun, ketika kejadian rumah itu tiada penghuni.

Hasnah A Jalil, 54, yang rumahnya turut rosak akibat letupan kuat itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar anak saudaranya ke sekolah berhampiran dan bergegas pulang ke rumah selepas terdengar bunyi letupan kuat serta dimaklumkan adiknya yang ternampak kepulan asap daripada arah belakang rumahnya.

"Rumah yang meletup ini sudah lama tinggal. Selepas bapanya meninggal dunia, baru-baru ini, ibunya berpindah ke tempat lain, tetapi anak lelakinya (yang juga salah seorang mangsa) sering balik ke sini. Dia memang berkawan dengan bapa Khairul Arif dan kanak-kanak itu kelihatan sangat rapat dengannya. Ketika kejadian, bapa Khairul Arif tiada di situ," katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Mayuni Wan Daud, 34, berkata dia yang ketika itu sedang berniaga di Pasar Chabang Tiga pada mulanya menyangka berlaku tsunami selepas terdengar bunyi letupan kuat dan gegaran dahsyat seperti bangunan dibom.BERNAMA

No comments:

Post a Comment