Sunday, October 3, 2010

2 maut babi rempuh kereta

Oleh Abdul Halim Yusoff

2010/10/03
Kenderaan dipandu mangsa terbabas sebelum langgar pokok

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu dan anaknya maut apabila kereta yang dinaiki remuk terlanggar sebatang pokok selepas terbabas akibat dirempuh seekor babi hutan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Marang, semalam.

Dalam nahas jam 8.15 pagi itu, Nor Aslina Izan, 25, yang memandu kereta terbabit, meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala anak tunggalnya, Nur Ain Nabila Zulkifli, 6, mati sejurus tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini kerana parah di dada.
Dua lagi mangsa yang berada dalam kereta jenis Kancil itu ialah ibu dan anak saudara lelaki Nor Aslina yang masing-masing parah dan dirawat di HSNZ.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, berkata ketika kejadian, keempat-empat mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah seorang saudara mereka di Kemasik menghala Kuala Terengganu.

Ahmad Mazlan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor babi hutan tiba-tiba meluru keluar dari semak sebelah kanan jalan dan merempuh Perodua Kancil dipandu oleh Nor Aslina yang berasal dari Kampung Padang Nenas, di sini.

“Akibat dilanggar babi hutan itu, kenderaan mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala. Manakala anaknya meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

No comments:

Post a Comment