Monday, August 23, 2010

Jenazah Khairul Arif selamat dikebumi

2010/08/23
KUALA TERENGGANU: Jenazah kanak-kanak malang Khairul Arif Ayub, 6, yang menjadi mangsa letupan mercun di sebuah rumah tinggal di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga semalam, selamat dikebumikan di sini selepas Asar tadi.

Diiringi ibunya, Kamariah Sufian, 25, jenazah Khairul dibawa dari bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dikebumikan jam 4.35 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Makam Lama, Chabang Tiga, dengan dihadiri lebih 100 orang kaum keluarga, orang ramai serta anggota polis.
Turut kelihatan berada di tanah perkuburan itu adalah ayah mangsa, Ayub Abdul Rahman, 28, yang sejak dari awal berada di tanah perkuburan tersebut untuk menggali sendiri liang lahad anak tunggalnya itu.
Suasana hiba menyelebungi tanah perkuburan sebaik jenazah dibawa keluar dari kenderaaan jenazah HSNZ apabila ibu mangsa hampir pitam beberapa kali sehingga terpaksa dipapah dan ditenteramkan oleh suami dan saudara maranya.

Kamariah yang memakai baju labuh berwarna kemerahan dan berseluar jeans kelihatan lemah longlai dan tidak henti-henti menangis sehingga terpaksa dipujuk oleh anggota keluarga.

Keadaan itu turut menyebabkan orang ramai dan saudara mara yang hadir pada pengkebumian jenazah murid Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Kampung Losong Atap Zin itu sedih dan mengalirkan air mata.

Sebaik sahaja selesai pengkebumian, polis kelihatan mengiringi Ayub ke kenderaan polis untuk dibawa ke Balai Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Sementara itu, datuk mangsa, Abdul Rahman Long, 60-an, berkata beliau begitu terkejut apabila dimaklumkan seorang anaknya yang cucunya itu meninggal dunia di atas pokok.

"Semasa itu saya baru balik dari kedai apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Arif. Saya bergegas ke tempat berkenaan dan tergamam apabila melihat dia benar-benar tersangkut di atas pokok.

"Saya cuba menurunkan mayatnya dengan memanjat sendiri pokok itu tetapi saya tidak larat dan hanya mampu naik separuh jalan sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seberang Baruh di sini.

Katanya, dua anaknya kemudian menyambung usaha untuk menurunkan mayat Khairul Arif dan beliau menyambutnya dari bawah dengan perasaan sedih dan hiba apabila melihat kecederaan parah yang dialami oleh cucunya itu terutama di bahagian kepala.

Beliau juga tidak menyangka kata-kata Khairul Arif bahawa dia ingin mati meninggalkan ibu dan ayahnya semasa menziarahi seorang anggota keluarganya yang meninggal dunia di Hulu Terengganu pada hari ketiga puasa menjadi kenyataan.

"Dia beria-ia nak mengikut saya menziarah seorang waris meninggal. Ketika menyediakan juadah untuk kenduri tahlil, Arif ada memberitahu saya sedapnya kuih untuk orang mati, kalau macam ni Arif pun nak mati juga, tinggallah ma dan papa dua orang," katanya.

Beliau menyifatkan Khairul Arif seorang cucu yang manja, periang dan cepat mesra dengan orang. - BERNAMA

Bapa Khairul serah diri di tempat letupan

Bapa Khairul serah diri di tempat letupan


2010/08/23
KUALA TERENGGANU: Bapa kanak-kanak yang terbunuh dalam letupan rumah menyimpan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, semalam, menyerah diri kepada polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsudin, berkata Ayub Abd Rahman, 29, menyerah diri pada jam 12.55 tengah hari tadi di tempat kejadian di mana anaknya, Khairul Arif, 6, terbunuh.
Katanya, polis menahan beliau di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
Ayub dipercayai menyimpan mercun dan bunga api di sebuah rumah sebelum kejadian letupan itu tengah hari semalam~Bharianonline

Khairul Arif ikut rakan bapa ke rumah tinggal

2010/08/23
KUALA TERENGGANU: Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam satu kejadian letupan di Kampung Seberang Baroh di sini, semalam, dikatakan ditinggalkan di rumah kosong berkenaan oleh ibu bapanya yang mahu menjemput seorang saudara mereka di mahkamah di sini.

Sumber rapat dengan keluarga mangsa memberitahu, ibu bapa mangsa, Ayub Abd Rahman, 28, dan Kamariah Sufian, 25, meninggalkan anak tunggalnya itu bersama dua lelaki yang juga rakannya di rumah tinggal itu, bagi menjemput seorang saudara sebelah bapa mangsa di mahkamah yang didakwa dengan kes penjualan mercun.
Click Here
Usaha Berita Harian untuk menemui Ayub dan Kamariah di rumah datuk mangsa di Kampung Seberang Baroh gagal, berikutan mereka dikatakan cuba mengelak dan melarikan diri daripada ditemui media atau mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu.
Difahamkan, keluarga mangsa dipercayai penjual mercun aktif di kawasan Chabang Tiga dan menjadikan rumah tinggal itu sebagai stor penyimpanan stok mercun jualan mereka.

Ibu saudara mangsa, Rozita Abd Rahman, 35, yang menjual mainan di bazar Ramadan dan Pasar Chabang Tiga berkata kanak-kanak itu sepatutnya ke Tadika KEMAS di Losong Atap Zin seperti kebiasaannya, bagaimanapun tidak dapat ke sekolah semalam kerana sudah lebih seminggu demam.

Dia yang bercuti berniaga semalam kerana mahu berehat berkata, anak saudaranya itu seorang yang mudah mesra dan gemar mengikut sesiapa yang dikenalinya, malah tidak menafikan kanak-kanak malang itu rapat dengan dua lelaki yang turut terbabit dalam kejadian letupan itu, terutama dengan anak kepada tuan rumah kosong berkenaan.

Katanya, Khairul Arif baru saja kematian datuk sebelah bapanya pada 3 Ramadan lalu dan ketika itu mangsa ada menyebut mahu mengikut serta menemani datuknya di dalam kubur, bagaimanapun tidak menyangka ia akhirnya menjadi kenyataan.
Sementara itu Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan, berkata dua lelaki yang cedera itu mungkin pekak kerana kerosakan teruk pada gegendang telinga dan sukar dirawat walaupun menerusi pembedahan plastik.

Lelaki yang berusia 30 tahun mungkin juga buta kerana sebelah matanya rosak teruk, manakala berusia 22 tahun mengalami luka dan cedera luaran dari kepala hingga ke kaki.

Bagaimanapun, doktor masih menilai sejauh mana kecederaan yang mereka alami, katanya ketika dihubungi sambil menambah proses penilaian kecederaan mereka akan dibuat pelbagai pakar berkaitan.

"Tidak sangka pula apa yang dikatakannya itu menjadi kenyataan hari ini. Dia tidak ke Tadika hari ini (semalam) kerana demam. Hari ini juga perangainya agak pelik kerana sentiasa mengusung dua pasang selipar raya yang dibelikan ibunya ke mana-mana dia pergi. Tidak sangka itu petanda dia akan pergi menyahut seruan Ilahi.

"Malah, ketika datuknya meninggal baru-baru ini pun, dia beberapa kali menyatakan mahu mengikut datuknya dan saya juga tidak menyangka, hasrat saya mengambil cuti untuk berehat hari ini bertukar bagi menguruskan jenazahnya," katanya sayu.~ Berita Harian

Mati melambung

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2010/08/23

Budak terpelanting 15 meter atas pokok selepas rumah
jadi stor mercun meletup

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun pula cedera parah dipercayai tercampak ke tanah di bahagian depan rumah berkenaan yang roboh akibat letupan kuat yang dikatakan boleh didengar sehingga sejauh empat kilometer. Seorang saksi, Norshafri Azhar, 36, berkata kanak-kanak itu, Khairul Arif Ayub, ditemui tersangkut di atas pokok, kira-kira lima meter dari belakang rumah berkenaan dengan kepalanya hancur.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya tergamam melihat dua lelaki dalam keadaan berlumuran darah di bawah timbunan kayu dan batu. Seorang daripada mereka yang masih mampu bercakap dalam nada lemah menyuruh saya mencari seorang kanak-kanak lelaki, tetapi saya gagal menemuinya setelah kira-kira 10 minit mencari di bawah timbunan batu dan kayu.

"Ketika itu penduduk kampung sudah memenuhi kawasan kejadian dan saya terkedu melihat tubuh kanak-kanak lelaki tersangkut di atas pokok di belakang rumah ini dengan kepalanya hancur dan otak terburai sebelum mayatnya diturunkan penduduk kampung," katanya yang menjadi saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Norshafri yang bekerja sebagai penjaja dan tinggal kira-kira 20 meter dari tempat kejadian itu, berkata ketika letupan berlaku dia sedang berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.
Saya terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar bunyi letupan kuat. Saya lihat, dua lelaki cedera parah di kaki dan muka, malah bahagian kaki kelihatan seperti hancur dan berlumuran darah.

Seorang daripada mereka masih mampu bercakap, manakala seorang lagi seperti sudah tidak sedar. Seorang daripada mangsa adalah anak pemilik rumah tinggal ini, yang kini menetap di Bukit Payung dan hanya pulang sekali sekali ke rumah ini bersama ibunya," katanya.

Norshafri berkata, dua lelaki terbabit adalah rakan bapa kanak-kanak itu, Ayub Abd Rahman, 28, dan Khairul Arif juga rapat dengan mereka serta sering dilihat mengikut lelaki berkenaan.

Selain memusnahkan bahagian depan rumah berkenaan termasuk tangga batu dan sebuah motosikal, letupan itu turut merosakkan rumah jiran yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Antaranya, cermin tingkap bahagian dapur dan bilik belakang pecah, lantai jubin retak dan atap bahagian dapur pecah. Bagaimanapun, ketika kejadian rumah itu tiada penghuni.

Hasnah A Jalil, 54, yang rumahnya turut rosak akibat letupan kuat itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar anak saudaranya ke sekolah berhampiran dan bergegas pulang ke rumah selepas terdengar bunyi letupan kuat serta dimaklumkan adiknya yang ternampak kepulan asap daripada arah belakang rumahnya.

"Rumah yang meletup ini sudah lama tinggal. Selepas bapanya meninggal dunia, baru-baru ini, ibunya berpindah ke tempat lain, tetapi anak lelakinya (yang juga salah seorang mangsa) sering balik ke sini. Dia memang berkawan dengan bapa Khairul Arif dan kanak-kanak itu kelihatan sangat rapat dengannya. Ketika kejadian, bapa Khairul Arif tiada di situ," katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Mayuni Wan Daud, 34, berkata dia yang ketika itu sedang berniaga di Pasar Chabang Tiga pada mulanya menyangka berlaku tsunami selepas terdengar bunyi letupan kuat dan gegaran dahsyat seperti bangunan dibom.BERNAMA

Thursday, August 19, 2010

Pelancong tidak serik datang ke Terengganu

2010/08/18

KUALA TERENGGANU: Walaupun cedera selepas terbabit dalam kemalangan bot di Pulau Perhentian kelmarin, dua pelancong dari New Zealand dan Norway tidak serik untuk datang lagi menikmati keindahan negeri ini pada masa depan.

Kelly Steiro, 29, seorang jurutera dari New Zealand berkata, walaupun dia dan isterinya Tina Mariann Steiro, 30, yang berasal dari Norway, cedera dalam kemalangan itu, mereka masih ada kenangan indah di Terengganu. “Kami dilayan baik di sini. Walaupun kami kemalangan, suatu hari nanti kami akan datang lagi ke Terengganu,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam. Katanya, walaupun ketika kemalangan itu dia dan isterinya tercampak ke laut tidak ada satu barang kepunyaannya yang hilang dalam kejadian itu.

Keadaan Tina, kini semakin pulih dan sudah dibenarkan keluar dari hospital itu semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Tina yang bekerja sebagai guru cedera di bahu dan dada, manakala suaminya, Kelly, cedera ringan.

Kejadian berlaku ketika kedua-duanya yang menaiki bot laju bersaiz kecil dipandu seorang lelaki tempatan dalam perjalanan pulang daripada aktiviti menyelam di Pulau Perhentian Besar bertembung dengan bot kargo.

Wednesday, August 18, 2010

Hilangkan Daki Di Badan

  1. Rendam segenggam beras selama satu jam. Toskan. Tumbuk beras ini dengan sedikit kunyit hidup sehingga lumat. Basahkan badan dengan air. Kemudian gosokkan beras tumbuk pada badan terutama bahagian leher dan kaki. Kemudian bilas dengan air suam. Jika diamalkan, kulit akan menjadi cerah.
  2. Goreng sedikit beras dengan beras pulut tanpa minyak sehingga kekuningan. Kemudian tumbuk dengan kunyit hidup sehingga hancur. Campurkan sedikit air limau nipis, sebiji telur, sedikit air dan kacau rata. Sapukan pada badan dan gosok hingga keluar daki.

Sumber : IT

Mengelakkan Minyak Memercik

  1. Ketika memanas minyak masak, masukkan sekeping asam gelugur dan biarkan seketika. Keluarkan asam gelugur dan masukkan ayam yang hendak digoreng.
  2. Masukkan sedikit garam kasar ke dalam minyak yang telah dipanaskan. Kemudian barulah menggoreng

Sumber : IT

Tuesday, August 17, 2010

'Tak sayang abah lagi'

'Tak sayang abah lagi'
Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.
Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.


Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.


Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.


Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.


“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

Monday, August 16, 2010

Dua anak meraung

Dua anak meraung
Oleh Mohd Nasif Badruddin, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Rohaya Bu-za

2010/08/16
KUALA TERENGGANU: “Tersentak hati saya melihat dua cucu tidak berdosa, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, meraung kesakitan akibat terkena simbahan cuka getah oleh bapanya yang hilang kewarasan.

“Malah, saya yang cuba menyelamatkan anak, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang bergelut dengan suaminya turut terkena percikan cuka getah di mata menyebabkan mata kiri kini menjadi kelabu,” kata Minah Omar, 56, ibu Che Ku Zaimah dan nenek dua kanak-kanak yang disimbah cuka getah pada kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Menceritakan detik cemas itu, Minah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, kira-kira jam 1.30 pagi dia dikejutkan dengan teriakan anak perempuannya meminta tolong dari bilik bersebelahan sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melihat dua cucunya menggelupur menahan kesakitan sementara dua lagi cucunya bersembunyi ketakutan.

“Saya yang terkejut tidak terfikir membantu dua cucu sebaliknya merayu menantu (suspek) menghentikan pergelutan dengan isteri, sebelum mata kiri terkena percikan cuka getah yang cuba disimbah pada anak.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya apa cecair yang disimbah sehingga bahagian yang terkena cecair itu kepanasan dan berasa pedih, cuma dalam perhatian saya suspek membawa cecair di dalam plastik.

“Melihat keengganan suspek berhenti mencederakannya, saya menjerit meminta tolong anak saudara yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja anak saudaranya datang, suspek yang ketakutan melarikan diri sebelum anak dan cucu bergegas ke bilik air untuk mandi kerana kepanasan.

Katanya, mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke HSNZ memandangkan kecederaan dialami agak serius dan tengah hari semalam dia dibenarkan keluar hospital sementara ahli keluarga lain masih dirawat di situ.
Click Here

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati Che Ku Zaimah cedera di belakang badan serta paha kanan dan kiri, manakala anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda cedera teruk di muka dan mata sementara Muhammad Irfan Firdaus cedera di muka dan dada,” katanya.

Minah berkata, menurut cerita Che Ku Zaimah, lelaki terbabit ke rumahnya untuk meminta wang RM30, bagaimanapun dia (Che Ku Zaimah) tidak memberi wang berkenaan menyebabkan suspek berang dan bertindak nekad menendang pintu rumah.

“Sebaik pintu itu dibuka, suspek meluru ke arahnya sebelum berlaku pergelutan dan dia nekad menyimbah cuka getah ke wajah Che Ku Zaimah, tetapi dielak menyebabkan ia terkena bahagian belakang.

“Lebih menyedihkan, cuka getah itu terkena muka dan badan kedua-dua cucu yang tidur sementara dua cucu lagi sempat menyelamatkan diri dan lebih kejam apabila dia bukan saja menyimbah, malah menyapu cuka getah itu di belakang badan Che Ku Zaimah,” katanya.

Katanya, suspek pernah menyatakan hasratnya untuk menyimbah asid di muka anaknya kerana mangsa ingin bercerai dengannya, bagaimanapun mangsa tidak mengambil serius ugutan itu.

“Dia bukan saja menampar mangsa apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat ke atas kepala anak saya selain mencederakannya dengan api rokok.

“Sikap suspek yang panas baran serta tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada Che Ku Zaimah yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menyebabkan dia tidak tahan kerenah suspek dan ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian mereka.

“Suspek yang berang pernah berkali-kali mengugut anak saya selain dipercayai menyimpan sijil perkahwinan mereka menyebabkan kes perceraian itu tertangguh sehingga sekarang,” katanya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan, ketika ditemui di pejabatnya semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah rumah tangga, apabila suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penagih dadah dan tidak bekerja berdendam serta marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang kerana mahu bercerai.

Katanya, pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu, tetapi tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu apabila mangsa membawa empat anak mereka berusia 10, lapan, tujuh dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Suspek sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada isterinya dengan yang terbaru sebelum kejadian ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke rumah mangsa mendapati, percikan asid atau cuka getah bertaburan di lantai dan dinding bilik tidur berkenaan, manakala jiran mangsa yang enggan dikenali mengaku mendengar bunyi bising daripada rumah berkenaan sebelum mengetahui mengenai kejadian

Saturday, August 14, 2010

Ubi gadung dikomersialkan

Ubi gadung dikomersialkan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Gadung? Mungkin hanya segelintir anak muda masa kini yang pernah mendengar perkataan itu dan mengetahui atau melihatnya.

Ia sejenis ubi yang lebih dikenali oleh orang-orang tua ketika mereka melalui zaman sukar dan menjadi sebutan mereka apabila mengimbau waktu silam.

Bahan beracun itu yang turut dijauhi binatang itu diolah dan diproses menjadi sajian makanan yang enak bagi menggantikan makanan ruji, namun ia bukanlah kerja yang mudah.

Di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu beberapa dekad lalu, ubi yang telah diproses dan dijadikan makanan masih boleh dibeli di pasar-pasar tertentu tetapi kini sukar dicari.

Ubi gadung adalah tumbuhan liar yang mudah kedapatan di hutan-hutan kecil dan ia menjalar dan memanjat pokok-pokok lain.

Ia boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri manakala isinya membesar di dalam tanah.

Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini untuk dikomersialkan terutamanya sebagai bahan perubatan, kecantikan dan makanan ternyata menarik perhatian.

UniSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam di wilayah ECER yang dipertanggungjawabkan dengan beberapa Pusat Kecemerlangan termasuklah pusat produk halal wilayah dan pusat herba serta bioteknologi.

Bagi menjayakan penyelidikan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah dan UnisZA pula oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr. Alias Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Justeru tidak mustahil suatu hari kelak, orang ramai memilih tepung ubi gadung untuk membuat kuih muih, makanan ringan sebagai ganti tepung gandum atau pulut hasil daripada penyelidikan itu kelak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadung berpotensi untuk dikomersialkan dan kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap tanaman tersebut selama dua tahun.

‘‘Saya difahamkan terdapat sejenis bahan di dalam kandungan ubi gadung yang dipercayai steroid di dalam bentuk gula di mana mampu menyahkan toksin di dalam badan selain menghalang pembekuan darah serta boleh dijadikan pil pencegah kehamilan. Ini sebahagian daripada potensinya.

“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun melalui projek perintis, ia akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti itu.

Ia meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticle, teknologi in-vitro, sifat anti bakteria dan anti imflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkormesialan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali berkata, ia sebagai usaha UniSZA dalam membantu projek huluan dan hiliran yang bakal memberi faedah secara langsung kepada penanam (huluan) dan secara tidak langsung menyediakan maklumat sokongan kepada kerajaan ke arah perkembangan tanaman dan produk baru bagi negeri ini.

Katanya, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

“Jika dulu masyarakat hanya dapat menemui ubi gadung jauh di dalam hutan dan ia dapat ditemui sekali setahun iaitu pada musim hujan namun kini UniSZA dalam usaha memproduktifkan tanaman ini dengan menghasilkan tanaman itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui tambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abd. Manaf memberitahu, semenjak kajian itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu, penyelidikan kandungan ubi gadung itu menunjukkan ciri-ciri ‘biopesticide’ yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

“Mengikut kebiasaannya, ubi ini yang diricis perlu direndam selama tiga hari di dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai bagaimanapun ia mengambil masa terlalu lama bagi pengusaha produk makanan jika mahu memproses ubi ini untuk dijadikan produk makanan,” ujarnya.

Justeru itu, UniSZA akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

“Dalam menjayakan usaha itu, kita telah mempunyai makmal sedia ada kira-kira empat tahun lalu iaitu yang terletak di UniSZA Kampus Kota dengan kos RM14 juta di mana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada wilayah ECER yang telah dipertanggungjawabkan dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Pusat Produk Halal Wilayah dan Pusat Herba dan Bioteknologi,” ujarnya.