Monday, November 1, 2010

Wanita lebih berisiko

PERNAHKAH anda mengalami situasi ini? Bangun saja daripada tidur, sendi-sendi seluruh kaki dan tangan kelihatan membengkak serta rasa sakit yang mencengkam hingga menyukarkan pergerakan.

Pasti ramai yang pernah mengalaminya, tetapi biasanya kita lebih suka menganggap keadaan itu sekadar kekejangan yang berlaku di waktu pagi berikutan suhu dingin pada waktu itu lalu membiarkannya reda sebelum dapat meneruskan rutin harian.


Andai sesekali dirasai, mungkin benar ia disebabkan kekejangan. Namun, bagaimana pula jika dialami hampir setiap hari hingga sukar melakukan aktiviti harian kerana perlu menunggu rasa sakit itu hilang dalam tempoh antara 30 minit hingga tiga jam?

Menurut Penasihat Perubatan dan Pakar Reumatologi Pusat Perubatan Sunway merangkap Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM), Dr Amir Azlan Zain, rasa sakit mencengkam yang dialami itu mungkin simptom kepada masalah kerosakan sendi seperti artritis reumatoid (RA).


"Sebenarnya penyakit sendi atau artritis ini mempunyai banyak jenis, tapi RA adalah antara penyakit sendi lazim yang menyerang lelaki dan wanita berusia antara 20 dan 40 tahun.

SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid  kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.

"Di negara ini, dianggarkan lima daripada setiap 1,000 orang akan menghidapi penyakit RA dan ia lebih banyak dialami kaum wanita melebihi 50 peratus berbanding lelaki.


"Hingga kini, pakar masih belum dapat memastikan sama ada ia berkaitan secara langsung atau tidak dengan ketidakseimbangan hormon yang sering dialami wanita," katanya.

Tambah Dr Amir, kadangkala rasa sakit yang dialami di tangan dan kaki itu tidak semestinya artritis, tetapi artritis selalunya menjadi punca kepada kesakitan itu.


"RA sebenarnya disebabkan oleh sistem imun kita yang tidak lagi mampu menolong melawan kuman dari luar. Sistem imun kita sepatutnya memusnahkan benda asing seperti virus dan bakteria yang cuba masuk ke dalam tubuh.

"Tapi RA pula berlaku apabila sistem imun itu menganggap sendi juga adalah benda asing yang perlu diserang dan dimusnahkan yang situasi itu dikenali sebagai autoimun," ujarnya.


Masuk angin, bentan urat, lenguh dan sebagainya pula, ujar Dr Amir, tidak boleh terus dikaitkan dengan masalah artritis dan RA kerana kebanyakannya tidak begitu serius.


"Keadaan seperti lenguh-lenguh dan bentan urat itu ialah satu simptom yang tidak begitu spesifik dan tidak boleh terus membuat andaian bahawa ia adalah penyakit artritis.


"Jika lenguh-lenguh dirasakan kurang daripada seminggu, tidak perlu risau kerana ia tidak memudaratkan. Tapi jika kaki dan tangan membengkak terutama di kawasan jari secara tiba-tiba serta tiada penjelasan mengenainya, malah berlarutan lebih seminggu, jadi perlu segera bertemu doktor untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku.


"Tiga simptom yang paling penting diambil kira untuk mengenal pasti RA ialah sakit mencengkam, bengkak dan kaku pada sendi badan terutama di kaki dan tangan yang biasanya berlaku pada waktu pagi sejurus bangun tidur.

Sakit dan bengkak itu pula berlaku lebih 30 minit dan hanya berkurangan selepas beberapa jam.


"Tidak perlu panik apabila ada tanda itu, tapi jangan ambil mudah kerana apabila ia tidak dirawat segera, kerosakan sendi akan berlaku dan pesakit RA ini akan berdepan dengan jari kaki serta tangan yang membengkok serta membengkak hingga sukar melakukan apa jua aktiviti," ujarnya.


Justeru, kata Dr Amir, faktor gaya hidup seperti merokok seeloknya dielakkan supaya ia tidak menyumbang kepada penyakit berkenaan.


"Kesan merokok bagi RA ini tidak sehebat kesannya pada paru-paru, tapi merokok sememangnya antara faktor yang menyumbang kepada masalah sendi seperti itu.


"Dari segi pemakanan pula, ada beberapa kajian klinikal yang cuba mengaitkan pemakanan dengan penyakit RA, tapi hingga kini belum ada yang mengesahkan bahawa ia menjadi punca kepada penyakit itu.


"Disebabkan wujud pelbagai jenis penyakit artritis, ada sesetengahnya memang perlu menjaga pemakanan seperti pesakit gout. Tapi secara amnya, pesakit RA tiada pantang larang dalam pengambilan makanan.

"Tidak salah untuk pesakit RA mengambil makanan tambahan kerana ia semata-mata untuk meningkatkan tahap kesihatan. Tapi, tiada makanan tambahan yang boleh mengawal RA sepenuhnya dan pesakit masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.


"Selain itu, masyarakat kita juga cenderung mendapatkan rawatan secara tradisional kerana ada segelintir yang mahu mengelakkan kesan sampingan ubat yang diberi doktor.


"Banyak kes di mana pesakit enggan menjalani rawatan yang disyorkan doktor selepas didiagnosis lalu beralih ke perubatan tradisional.

"Tapi akhirnya mereka terpaksa kembali ke hospital kerana kesakitan yang dirasai itu tidak surut, malah kerosakan sendi mereka makin teruk.

"Jadi, saya gesa pesakit yang mempunyai tiga simptom utama itu segera mendapatkan bantuan dan nasihat doktor sebelum membuat keputusan secara melulu," katanya.


Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai RA, AFM menyediakan laman web lengkap dan menyeluruh mengenai pelbagai jenis penyakit artritis menerusi www.afm.org.

Di samping itu, ada pautan ke laman web www.mydayforraasia.com yang membantu pesakit RA menjalani hidup dengan lebih produktif menerusi perancangan aktiviti harian, sasaran jangka pendek dan panjang serta memberi bimbingan mengenai rawatan yang perlu dijalani.

Sumber : berita

1 comment:

  1. kesiannye. tapi tahu tak orthosis?
    sejenis alat yang kalau kita dah tahu kita ada sakit ni, kita boleh pkai..so that takla teruk sangat macam dalam gambar. hehehe.

    ReplyDelete