Thursday, July 15, 2010

Gamelan di setiap daerah

KUALA TERENGGANU 14 Julai - Bagi mempertahankan dan menyemarakkan muzik gamelan yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini, Lembaga Muzium Negeri mencadangkan agar diwujudkan kumpulan muzik gamelan di setiap daerah.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, sudah sampai masanya usaha digerakkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama para aktivis bagi membimbing dan melatih generasi muda mencintai dan menguasai seni itu.

''Kerajaan negeri boleh menyalurkan bantuan dengan menyediakan peralatan gamelan di setiap daerah bagi membolehkan pelajar terutamanya diberi pendedahan tentang muzik itu.

''Walaupun peruntukan untuk set peralatan gamelan lebih RM50,000 namun, ia merupakan langkah berbaloi bagi mendedahkan generasi muda terhadap muzik warisan itu di samping meningkatkan tahap kreativiti dalam persembahan," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui semasa menyaksikan pratonton persembahan Gamelan Kerajaan Negeri, di sini semalam.

Mohd. Yusof mengulas kebimbangan para penggerak gamelan bahawa kesenian yang menjadi kebanggaan itu mungkin hanya boleh ditatap di muzium pada masa depan sekiranya tiada pelapis untuk mempersembahkannya.

Beliau mengakui kini persembahan muzik gamelan amat terbatas di negeri ini dan seharusnya ia diperluaskan.

Sehubungan itu, penganjuran Festival Gamelan Sedunia 2010 di sini mulai 23 hingga 25 Julai ini boleh menjadi salah satu landasan terbaik bagi mengetengahkan seni persembahan yang menarik minat masyarakat dunia.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment